Tuesday, February 4, 2014

Rajuk-Rajuk Remaja

Remaja merajuk? Remaja dan merajuk memang sinonim! Sekejap-sekejap mahu merajuk. Merajuk dengan emak, dengan kakak, dengan abang, dengan ayah mungkin kurang. Sebabnya ayah garang! Ada juga yang terlebih manja dengan ayah. Bolehlah tunjuk merajuk. Hihi.

Merajuk memang normal tetapi kalau terlalu kerap terutamanya dengan kawan-kawan, mereka akan lama-kelamaan menjadi menyampah atau tidak suka dengan kita. Kawan-kawan suka kawan yang 'sporting', boleh bergurau, senang diajak berunding. Kawan-kawan tentunya bengang jika kita asyik tunjuk muka kelat merajuk.

Apa sebab merajuk?

  • Tidak memperolehi apa yang dimahukan
  • Inginkan perhatian
  • Menunjukkan rasa protes atau memberontak
  • Rasa tidak puas hati
  • Cemburu
  • Ada orang lebih hebat darinya
Orang yang lebih tinggi egonya lebih mampu menyimpan rasa merajuk terutamanya lelaki. Biasanya lelaki jarang merajuk. Tapi jika mereka merajuk situasi mungkin lebih teruk daripada perempuan yang sinonim dengan perangai suka merajuk. Lagi susah mahu dipujuk. 

Walaupun perempuan sinonim dengan merajuk, namun ada perempuan yang jarang tunjuk rasa merajuk. Perempuan jenis ini memang agak maskulin. Bukan maskulin perangainya tetapi maskulin dari sudut cara berfikir dan bersikap. Mereka lebih terbuka dalam banyak situasi.

Apa yang boleh dibuat jika mahu merajuk?
  • Bercakaplah dengan orang yang kita percayai seperti kawan baik, cikgu dan sebagainya.
  • Berterus terang dengan orang yang kita tidak puas hati.
  • Ajukan soalan dan kemusykilan kepada orang yang arif; patutkah kita merajuk.
  • Diam dan ambil masa berfikir tentang masalah yang dihadapi sehingga membawa kita merajuk
  • Fikirkan adakah berbaloi untuk kita rajukkan benda yang remeh itu.
  • Fikirkan untung atau rugi merajuk.
  • Buat tindakan yang lebih menguntungkan.

Apabila hati sudah berbuku, rajuk memang menjerut rasa. Walau apapun alasan merajuk, jangan merajuk dengan ibu bapa sehingga lari dari rumah. Ramai yang hilang dan ramai yang menyesal kerana lari dari rumah. Semuanya kerana ikutkan perasaan merajuk yang amat sangat! 

Merajuk hanya pada yang kasih. Yang pasti Allah sentiasa mengasihi hamba-hambaNya walaupun Dia dilupakan!

No comments: