Thursday, September 22, 2011

Jarum Kasih

 Jika dihitung dengan jari usia Fitrisha baru mencecah enam belas tahun. Masih hingusan, masih belum tahu banyak perkara mengenai kehidupan. Masakpun belum pandai. Berkemaspun masih dengan tunjuk ajar ibunya. Lagipun Fitrisha  anak sulong. Puan Maria berharap agar dia akan menjadi contoh kepada adik-adiknya yang lain. Sekurang-kurangnya belajar sampai setinggi mana yang boleh, memperolehi pekerjaan dan barulah fikirkan soal  teman lelaki.
“Sekarang bukan masa nak berboyfriend, Fitrisha. Belajarlah dahulu. Bila besar nanti, ada ilmu, ada pekerjaan, jodoh tak kemana.” Leter ibunya setiap kali gusar dengan tingkah laku anak gadisnya yang semakin galak berkawan dengan budak Asrul. Seringkali juga teman lelakinya datang ke rumah. Mujurlah Puan Maria tidak bekerja dan sentiasa ada di rumah. Bolehlah dia mengawasinya. Adakalanya dia mencuri-curi keluar dengan Asrul.  Puan Maria sendiri hairan apalah yang dikejarkan sangat dengan budak Asrul bermotor kapcai itu. Bekerjapun kerja kilang sahaja. Puan Maria puas menasihatkan bukan sekadar anak perempuannya malahan juga teman lelaki anak gadisnya juga. Dia meminta kerjasama Asrul agar tidak mengganggu anaknya kerana Fitrisha  masih bersekolah lagi. Sudah tentulah dia belum matang untuk memikirkan mana satu baik dan buruk jika tidak dipandu dan diingatkan. Masalahnya jika seringkali diingatkan Fitrisha  akan memberontak, merajuk dan menghilangkan diri ke rumah kawan.
  
Cinta ibarat api, kadang-kadang ia menerangi namun adakalanya membakar diri,  jika tanpa iman dan taqwa.
PS: Mampukah Fitrisha mengatasi gelora usia remajanya atau sudah terhantuk baru terngadah? Cerita ini adalah sebahagiaan daripada jendela hidup seorang insan yang akhirnya disedarkan oleh realiti kehidupan. Bersambung.

Wednesday, September 21, 2011

Tersisih

Perceraian seringkali menjadi punca ketandusan kasih sayang dalam jiwa anak-anak sama ada yang masih kecil ataupun remaja.

Banyak masalah remaja berpunca dari rumah atau keluarga yang pincang. Lantaran itu mereka kekurangan didikan agama, kasih sayang atau terdedah dengan pelbagai pengaruh yang akhirnya mengheret mereka ke kancah masalah sosial.  Namun begitu, terdapat juga  remaja yang masih bernasib baik walaupun pernah menjadi mangsa perceraian ibu dan bapa semenjak kecil lagi.

Helmey tetap meneruskan perjuangan hidupnya sebagai seorang yang menumpang kasih dengan keluarga angkat semenjak ibu dan bapanya berpisah. Helmey amat berterima kasih dengan keluarga angkatnya yang baik hati tetapi semangatnya terus membara untuk berdikari di atas kaki sendiri walaupun masih di bangku sekolah. Dia rela mengambil upah memerah santan untuk mencari duit poket. Helmey tidak mahu menyusahkan ibu dan bapa angkatnya kerana ramai lagi adik-adik angkatnya yang masih perlu dibela.

Tambahan pula dia sedar siapa dirinya. Hanya menumpang teduh sementara semenjak ibunya menyerahkannya kepada ibu angkatnya sewaktu dia masih kecil dahulu. Perkara yang paling menguji  Helmey ialah dia rindukan ibu dan bapanya. Dia masih ingat lagi sewaktu kecil ayahnya mendukungnya pergi berjalan-jalan. Dia rindukan belaian kasih ibunya yang pernah dirasainya sewaktu kecil dahulu. Kini rindu itu amat mencengkam dadanya terutamanya sewaktu takbir berkumandang di aidil fitri.

Mampukah Helmey menggalas kemelut yang sedang bersarang dalam jiwanya di samping mengejar cita-cita dalam pelajarannya serta menebus nasib hidupnya yang seakan-akan tersisih daripada kasih keluarga yang amat dirinduinya? Bagaimana akhirnya keputusan peperiksaan SPM Helmey? Kemana haluannya selepas ini? Apa prinsip hidup yang terbina dalam jiwanya hasil daripada pengalaman hidupnya selama ini?

Jika anda berupaya belajar bagaimana menggunakan pengalaman yang menyakitkan dan menyenangkan daripada dikuasai oleh keduanya, maka anda sebenarnya
sudah menguasai hidup anda. Itulah rahsia kejayaan.(Tony Robbins)